Pengertian Haidh
Soalan : Apakah pengertian haidh?
Jawapan : Dari segi syara', haidh ialah darah yang keluar dari rahim wanita yang sudah baliqh kerana fitrah semulajadi kejadiannya, bukan kerana penyakit. Ia adalah darah tabie yang pada waktu yang tertentu bukan kerana sakit, luka keguguran atau kelahiran.
Firman Allah SWT yang bermaksud : "Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. katakanlah : "Haidh itu suatu kotoran".
Haidh dikatakan suatu kotoran kerana warnanya yang kotor, baunya yang busuk dan boleh mendatangkan kemudaratan.
Benci Kedatangan Haidh
Soalan : Bagaimana dengan wanita yang benci dengan kedatangan Haidh?
Jawapan : Seseorang wanita yang benci dengan kedatangan haidh pada dirinya adalah berdosa. Ia dianggap cetek ilmu pengetahuan. Sebenarnya, kedatangan haidh menandakan kesuburan organ peranakan wanita. Ia amat penting bagi setiap wanita. Tanpa kedatanga haidh, mungkin orga peranakan bermasalah dan mungkin menandakan mandul.
Oleh itu kaum wanita mestilah redha dan bersyukur dengan ketentuan Allah SWT.
Sabda rasulullah SAW : "Sesungguhnya ini adalah suatu urusan yang telah ditentukan Allah SWT kepada perempuan-perempuan keturunan adam".
Ibadah Yang Dibolehkan
Soalan : Apakah ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh perempuan yang haidh?
Jawapan : Haidh tidaklah menghalang kesemua jenis ibadah. Oleh itu perempuan yang berhaidh boleh menghampkan diri kepada Allah dengan melakukan zikir, membaca basmallah, membaca hadis, fiqh, berdoa, mengucapkan salam, mendengar al-Quran dan sebagainya.
Perempuan yang haidh dan bernifas juga boleh menghadiri semua tempat untuk melakukan ibadat haji seperti tempat wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah, wukuf di Masy'ril haram, melontar jumrah, bermalam di Mina, bertakbir pada hari-hari tadyriq dan melakukan korban untuk dirinya. Namun dia tidak boleh tawaf di Baitullah kecuali setelah suci daripada haidh.